| PEJABAT PENDAFTAR

Beretika, bertanggungjawab gunakan media sosial

Ringkasan Artikel

Pada masa kini, penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube semakin meluas selaras dengan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Jika dahulu media sosial lebih digunakan sebagai cara berkomunikasi secara tidak formal, namun kini ia turut digunakan secara rasmi sebagai salah satu medium penyampaian di agensi kerajaan.

Pada masa kini, penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube semakin meluas selaras dengan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Jika dahulu media sosial lebih digunakan sebagai cara berkomunikasi secara tidak formal, namun kini ia turut digunakan secara rasmi sebagai salah satu medium penyampaian di agensi kerajaan.

Dalam dunia tanpa sempadan dengan banyak maklumat boleh diakses di hujung jari sahaja, media sosial banyak memainkan peranan dalam membantu menyampaikan pelbagai mesej penting yang bermanfaat kepada khalayak dengan lebih efektif. Apatah lagi semasa situasi pandemik COVID-19 melanda di seluruh dunia, pergerakan kita agak terbatas dan lebih bergantung pada media sosial untuk berkomunikasi.

Namun begitu, jika disalahgunakan ia boleh mengundang padah dan menyebabkan implikasi negatif kepada diri sendiri atau orang lain. Ada yang suka membincangkan sesuatu topik dan mengutarakan pendapat masing-masing. Ada juga yang gemar meletakkan komen kontroversi semata-mata untuk meraih perhatian ramai. Media sosial tidak wajar digunakan sebagai medan menyebarkan dakyah palsu atau menyatakan isu sensitif.

Dalam konteks penggunaan media sosial oleh penjawat awam, mereka perlulah beretika dan bertanggungjawab. Hal ini disebabkan setiap gerak-geri dan tutur kata mereka sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Bak kata pepatah “bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar”. Mereka perlu sedar bahawa citra sebagai penjawat awam tidak harus dipertaruhkan dan mesti sentiasa dipelihara walau di mana pun mereka berada.

Sesungguhnya mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Sebarang pernyataan awam atau komen yang berbaur hasutan, provokasi, perkauman, lucah dan apa-apa yang boleh mencetuskan kegusaran dan menggugat keharmonian masyarakat hendaklah dielakkan. Setiap perbuatan yang dilakukan akan menyerlahkan keperibadian diri mereka. Maruah diri, keluarga dan organisasi haruslah sentiasa diberikan keutamaan.

Penjawat awam adalah tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan 51 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Sekiranya didapati melakukan kesalahan dan dikenakan tindakan, mereka boleh digantung kerja, ditangguh pergerakan gaji, kehilangan peluang kenaikan pangkat, diturunkan pangkat atau lebih serius lagi dibuang kerja.

Justeru, berfikirlah dahulu sebelum melakukan apa-apa yang boleh memudaratkan diri sendiri atau orang lain. “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.” Jika sudah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruklah padahnya. Bak kata pepatah “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”.

Oleh : Nor azlia binti Azmi

 

SXDdCAx~