| PEJABAT PENDAFTAR

Bersatu hati, hargai nikmat kemerdekaan

Ringkasan Artikel

Ogos, bulan yang cukup bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia. Bulan yang cukup sinonim dengan Hari Kebangsaan negara kita yang tercinta. 31 Ogos 1957, tarikh keramat negara mencapai kemerdekaan, bebas daripada cengkaman penjajah.

Tanggal 31
Bulan lapan, 57
Merdeka, merdeka
Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah

Tanggal 31
Bulan lapan, 57
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka

                                                                             (petikan lirik lagu Tanggal 31 Ogos)

Ogos, bulan yang cukup bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia. Bulan yang cukup sinonim dengan Hari Kebangsaan negara kita yang tercinta. 31 Ogos 1957, tarikh keramat negara mencapai kemerdekaan, bebas daripada cengkaman penjajah.

Tahun ini merupakan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-65 bertemakan “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”. Pemilihan tema pada kali ini menekankan konsep keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Mesej perpaduan masyarakat yang disampaikan dalam tema tersebut menuntut pengertian dan penghayatan sepenuhnya daripada segenap lapisan masyarakat. Oleh hal yang demikian, kita wajar meraikan kepelbagaian agama dan budaya dengan memupuk amalan toleransi dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Sebarang isu yang berlaku ditangani secara berhemah melalui musyawarah untuk mengelak berlakunya konflik, bak kata pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Masyarakat yang bersatu padu dan bekerjasama mewujudkan keharmonian yang menjadi pemangkin kepada kemakmuran dan kestabilan sesebuah negara. Masyarakat yang tidak bersatu padu berisiko menghadapi masalah kegawatan ekonomi, perpecahan dalam masyarakat dan seterusnya boleh mencetuskan peperangan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. 

Dalam usaha mengekalkan ekosistem keharmonian negara, adalah penting untuk kita bersatu hati dan sepakat demi memastikan kesejahteraan dan keharmonian negara kita yang tercinta sentiasa terpelihara. Sebarang anasir jahat berunsur hasutan atau usaha memecahbelahkan jalinan perpaduan dalam masyarakat harus ditepis.

Pada era globalisasi ini, masih ada segelintir masyarakat kita yang dibelenggu dengan minda yang negatif dan prejudis. Saban hari ada sahaja isu yang diprovokasi terutama dalam media sosial yang boleh mencetuskan pertelagahan dan mengganggu-gugat nikmat kemerdekaan yang dikecapi. Hal seperti ini tidak seharusnya dinormalisasikan pada masa kini kerana boleh mengundang kegusaran dan ketidaktenteraman dalam masyarakat.

Jika diimbas kembali bagaimana kita bergelut mengharungi situasi pandemik COVID-19 selama dua tahun ini, ternyata ujian getir tersebut sudah cukup menguji keteguhan dan kebersamaan kita dalam mendepani segala rintangan dan cabaran. Tanpa mengira perbezaan agama dan budaya, rakyat Malaysia bersama-sama berganding bahu dan saling bantu-membantu golongan yang ditimpa kesusahan, seperti kata pepatah serumpun bak serai, sesusun bak sirih. 

Kita seharusnya bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi pada masa kini atas hasil jerih payah dan pengorbanan generasi terdahulu. Jika kita benar-benar menghargai perjuangan mereka, tidak akan ada yang berani cuba memporak-perandakan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di negara ini. Justeru, marilah kita sama-sama memfokuskan masa depan yang lebih gemilang dan penuh harapan.

Oleh: Nor Azila Azmi

SXETBAF~