| PEJABAT PENDAFTAR

Pendaftar santuni staf ditimpa kemalangan

Serdang, 19 Jan – ‘Sudah jatuh ditimpa tangga’ yang bermaksud seseorang yang mendapat kesusahan yang berturut-turut.

Begitulah ujian yang menimpa salah seorang staf Universiti Putra Malaysia (UPM), iaitu Puan Norazian Zainal, yang terlibat dengan kemalangan motosikal bersama suaminya pada penghujung tahun 2022.

Pengurusan UPM sentiasa cakna dan prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan staf yang menjadi tulang belakang dalam pentadbiran universiti.

Justeru, Pendaftar UPM, Encik Muhazam Mansor dan Prof. Madya Dr. Mohd Daud Awang, Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) turun padang menyantuni beliau dan suami di rumahnya di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang.

Keadaan suami beliau yang masih belum pulih dan memerlukan penjagaan mendorong Pejabat Pendaftar dan WAZAN bekerjasama dalam memastikan kategori bantuan yang boleh disalurkan.

WAZAN dalam sesi ziarah tersebut telah menyumbangkan keperluan asas untuk meringankan beban Puan Norazian sekeluarga yang juga merupakan staf di Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul.

Turut hadir dalam sesi ziarah tersebut ialah Puan Zaimawati Mustapa, Ketua Seksyen Perubatan dan Perhubungan Pekerja, Pejabat Pendaftar, dan wakil WAZAN iaitu Encik Mohd Azrol Hafizi Azman, Ketua Seksyen Pengurusan Zakat dan Pembangunan Asnaf  dan Cik Maznur Nazila Moin, Pegawai Eksekutif 3.

 

Disediakan oleh: Zaimawati Mustapa

SXETRA2~