| PEJABAT PENDAFTAR

Program Sederap Berpasukan Komuniti Kuarters UPM eratkan ukhwah, budayakan kerjasama warga kuarters

Serdang, 11 Februari – Kebelakangan ini, kejayaan yang diraih dalam kalangan warga Universiti Putra Malaysia (UPM) cukup membanggakan, namun pada masa yang sama kerapuhan nilai murni, kelunturan budi pekerti serta hakisan kualiti diri semakin membimbangkan. 

Menyedari hakikat berkenaan, Pejabat Pendaftar mengambil inisiatif menganjurkan Program Sederap Berpasukan Komuniti Kuarters Universiti Putra Malaysia. 

Program team building bertemakan ‘Jiran Itu Keluarga’ ini telah dianjurkan pada 11 Februari 2023 di Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC), Puchong dengan penyertaan daripada 72 warga komuniti kuarters UPM.

Program bermula seawal jam 7:00 pagi dengan semua peserta bertolak dari Bangunan Canselori Putra, UPM dengan menaiki dua buah bas ke Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC), Puchong.

Perasmian program yang julung kali dianjurkan ini telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Muhazam Mansor, Pendaftar UPM. 

Antara objektif program ini adalah bagi perkongsian idea dan pandangan di antara Pejabat Pendaftar dan warga kuarters untuk mewujudkan takwim program yang melibatkan komuniti kuarters dalam tempoh tiga tahun.

Di samping itu, program ini juga membolehkan peserta berinteraksi, membina hubungan yang baik dan bekerja secara efektif dengan orang lain untuk mencapai objektif yang sama serta mencungkil kembali sikap baik dan keupayaan dalam diri setiap penghuni kuarters dalam mendepani komuniti dan masyarakat yang semakin terbuka dan mencabar. 

Melalui program ini juga, peserta dapat mengeratkan silaturahim dan merapatkan ukhwah serta mewujudkan budaya kerjasama dalam kalangan penghuni kuarters terutamanya mereka yang baru mendiami kuarters.

Program ini juga diharap dapat menyerlahkan sikap keprihatinan dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga kuarters serta meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja mereka.

Pelbagai bentuk pengisian serta latihan dalam kumpulan diselitkan dalam dua slot program ini untuk mewujudkan sikap bertanggungjawab peserta terhadap keputusan kumpulan dan menguji ketahanan fizikal serta kesejahteraan mental mereka. 

Pengisian slot pertama berbentuk latihan dalam kumpulan (LDK) iaitu ice breaking dan perbincangan takwim kuarters 2023-2025 pada sebelah pagi.

Manakala bagi slot kedua pada sebelah petang melibatkan aktiviti ketahanan fizikal yang dijalankan di dalam hutan seperti Amazing Race, Spider Web Challenge dan Water Confidence Challenge

Disediakan oleh: Mohd Muzairy Musa

 

SXDdVAf~