| REGISTRAR OFFICE

UPM REGISTERAR OFFICE LAUNCHES SERIES OF PROFESSIONAL SESSION

Pejabat Pendaftar UPM telah melancarkan Siri Wacana Profesional yang merupakan program perkongsian pengalaman bersama tokoh-tokoh korporat negara. Program latihan ini walaupun direka khusus bagi pembangunan pegawai dalam himpunan bakat UPM turut dibuka kepada para pemimpin UPM sedia ada dan pegawai-pegawai lain yang berminat.  Bagi program sulung yang diadakan, Seksyen Latihan (Bukan Akademik), Pejabat Pendaftar mengambil inisiatif menjemput tokoh korporat terkenal, YBhg. Dato’ Seri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, mantan CEO Proton dan Perodua yang kini merupakan Pengarah Eksekutif Brainy Bunch Islamic Montessori. Beliau telah menyampaikan wacana bertajuk 'Transformational Leadership'.

Wacana disampaikan berdasarkan pengalaman beliau menerajui organisasi utama negara dalam bidang automotif. Dato’ Seri Haji Syed Zainal Abidin menggariskan beberapa ciri utama yang perlu ada pada seseorang pemimpin seperti komitmed,     berpengetahuan, bertanggungjawab, berintegriti, konsisten dan boleh dipercayai. Selain itu beliau turut berkongsi pandangan tentang persoalan yang perlu dijawab oleh seseorang pemimpin dalam merancang dan melaksanakan sesuatu perubahan dalam organisasi seperti apakah inisiatif yang    sedang dibuat? kenapa ianya penting? apakah perubahan yang diperlukan? bagaimana kejayaan terhadap perubahan tersebut diukur? dan apakah yang  diperlukan dari pasukan bagi     mencapai kejayaan tersebut?

Selain berkongsi pelbagai aspek kepimpinan dari segi teori dan praktikal, Dato’ Seri Haji Syed Zainal Abidin turut menekankan kepentingan aspek spiritual iaitu penerapan amalan kerohanian dalam pekerjaan bagi melahirkan staf berkualiti serta mendapat keredhaan Allah dalam aktiviti yang          dijalankan. Beliau turut berkongsi proses transformasi yang dilaksanakan di Proton melibatkan       penerapan ajaran Islam dalam pekerjaan yang pada pandangan beliau menyumbang dalam kejayaan salah satu projek model kenderaan yang dihasilkan.

YBhg. Dato’ Wan Azman Wan Omar, Pendaftar UPM dalam ucapan aluannya melahirkan harapan agar warga UPM mengambil peluang mengikuti program Wacana Profesional seterusnya. “Kita percaya    para pegawai akan mendapat ilmu dan pengetahuan yang bermanfaat hasil perkongsian bersama  para tokoh yang merupakan ikon dalam industri melalui program ini” kata beliau. Pejabat Pendaftar telah mensasarkan untuk mengadakan program ini secara berkala iaitu dua bulan sekali.

Seramai 184 pegawai menghadiri wacana yang diadakan pada 5 April 2013 bertempat di Auditorium Jurutera, Fakulti Kejuruteraan, UPM. Ianya diakhiri dengan sesi penyampaian anak pokok durian hasil semaian Taman Pertanian Universiti sebagai penghargaan dan tanda kenang-kenangan atas kesudian Dato’ Seri berkongsi pengalaman bersama-sama warga UPM.

 

 

 

 

 

 

Dato� Seri Haji Syed Zainal Abidin menyampaikan ceramahnya

 

 

SXETOA2~